Selasa, 30 Jun 2009

PENULIS MESTI MEMBACA


Sudah agak lama sebenarnya tidak berkarya.Kekangan masa serta pelbagai kerja yang mesti disiapkan dengan kata lain "pelajar didahulukan, pencapaian periksa diutamakan.Jadi entri kali ini, ingin rasanya berkongsi ilmu tentang teknik atau pun cara menulis walaupun sedikit. Sebenarnya saya mempelajari semua ini semasa berada di universiti dalam kursus Penulisan Kreatif.Masa itu ia diajar oleh Zuhairi b Othman putih, seorang penulis muda yang berbakat besar dalam penulisan kreatif tetapi mengalami tragedi yang amt tragis.Peluang bersemuka dan dan belajar dalam kuliah yang sama yang penulis muda seperti faizal tehrani( konsep P.A.S), otai seperti Pak Dharma juga saya muatkan disini.Bahan bacaan dari PTS juga banyak membantu dalam saya merungkai setiap pelusuk dairi hidup.
Teknik penulisan melalui penceritaan sangat popular di negara Barat. Seandainya diperhatikan revolusi dalam bidang penulisan yang lebih menjurus kepada teknik penceritaan sudah lama berkembang maju di negara Barat. Harus diingatkan bahawa hikmah ini adalah kepunyaan kita, kerana terlalu banyak ayat-ayat di dalam Al-Quran sendiri yang menggunakan teknik penceritaan untuk menyampaikan mesejnya.



KENAPA BERCERITA?
Kita selalu bercerita kepada kanak-kanak agar mudah memahamkan mereka dan menyampaikan mesej dengan cara yang menarik. Seandainya diperhalusi teknik penceritaan ini memudahkan idea-idea berat supaya dapat dicernakan oleh minda dengan mudah.
Sekiranya anda membuat perbandingan antara dua artikel atau petikan yang menggunakan teknik penceritaan dan teknik penulisan formal, tentu saja anda lebih tertarik dan mudah mengikuti tulisan berbentuk penceritaan walaupun kedua-dua petikan membawa idea yang sama.
Selain itu kaedah penceritaan mudah diingati ideanya oleh para pembaca berbanding bahasa skema dan formal yang biasa digunakan. Secara peribadinya saya merasakan tidak ada salahnya menterjemahkan idea-idea dan fakta yang serius ke dalam bentuk penceritaan untuk tatapan umum. Bukanlah penulisan formal sahaja yang dipandang ‘segak’ oleh para pembaca untuk dipanggil penulisan ilmiah, bahkan kaedah penceritaan juga boleh mencapai nilai yang sama tinggi dengannya. Tentu sekali membosankan membaca artikel ilmiah yang sarat dengan fakta meskipun ia membawa idea yang bernas andainya cara penyampaiannya lesu dan suram. Begitulah penulis-penulis Barat sudah lama mengaplikasikan idea mempengaruhi minda masyarakat melalui penceritaan yang menarik padahal ideanya batil. Bagaimanakah pula umat Islam boleh mencicirkan hikmah ini sedangkan mereka ingin membawa kebenaran?
Maka saya cadangkan mulai hari ini anda baca sedikit sebanyak buku cerita dan novel yang berkenaan untuk mencantikkan laras bahasa anda agar dapat menarik lebih ramai pembaca. Kepada yang berminat untuk mempelajari teknik penulisan kreatif ini juga bolehlah berbuat demikian.


POINT OF VIEW
Seperti biasa kaedah penceritaan memiliki sudut pandang yang berbeza. Ada kalanya sudut pandang orang pertama, orang ketiga dan sebagainya. Kaedah penceritaan yang lazim menggunakan sudut pandang orang ketiga, dan ini diakui juga terdapat di dalam Al-Quran apabila kitab Allah itu menceritakan akan perihal pelbagai watak di dalamnya. Melalui sudut pandang orang ketiga atau dikenali juga sebagai sudut pandang serba tahu, cerita mengisahkan watak yang pelbagai tetapi pengetahuan ke atas diri mereka adalah lengkap. Ambil saja contoh mana-mana kisah yang terlalu banyak di dalam Al-Quran yang menggunakan sudut pandang orang ketiga ini. Tidak larat hendak disenaraikan. Dapatkah anda membayangkan betapa hebatnya teknik penceritaan ini sehinggakan Al-Quran begitu banyak menceritakan perihal kaum-kaum yang sudah berlalu?
Bangunlah pemilik-pemilik hikmah…
Sudut pandang orang pertama (First person point of view-central) juga amat menarik untuk diaplikasikan buat pembaca. Ini kerana pembaca dapat menyelami perasaan penulis atau watak di dalam cerita, seterusnya menjadikan ia sangat menarik seolah-olah para pembaca sendiri yang mengalami kejadian tersebut. Ini adalah teknik yang paling lazim digunakan (termasuklah oleh saya juga). Biasanya penceritaan menggunakan perkataan ‘aku’ atau ‘saya’ dalam menceritakan plot demi plot untuk meletakkan para pembaca di tempat si penulis.
Teknik penceritaan yang berbunyi monolog dalaman juga menarik untuk diaplikasikan kerana ia lebih santai. Teknik ini boleh digunakan untuk menguasai keadaan psikologi pembaca dan mengajak mereka untuk turut serta di dalam cerita. Untungnya kaedah ini seolah-olah mendekatkan kita dengan para pembaca, dan menjadikan mereka seolah-olah sudah lama mengenali si penulis.
Pembaca yang mengambil pengajaran adalah pembaca yang tidak terlalu ambil pusing pada cerita itu sendiri, akan tetapi pembaca yang berusaha meneliti pengajaran yang cuba disampaikan oleh cerita itu. Juga pembaca yang cuba meletakkan dirinya dalam situasi yang diutarakan oleh cerita, supaya apabila berlaku keadaan yang sama dalam hidup mereka, maka akan bijaklah ia dalam membuat keputusan. Sudah pastilah watak-watak itu berubah-ubah dari zaman ke zaman, sedangkan plot atau jalan ceritanya hampir sama sahaja. Kemungkinan Firauan itu ada penggantinya di zaman moden ini, cuma barangkali namanya sahaja yang berbeza. Yang demikian itu dipanggil sejarah oleh Hamka, sedangkan Herodotus menyatakan mereka yang tidak mempelajari sejarah (cerita itu sebenarnya) akan mengulanginya (terutamanya kegagalan dan kesilapan).
Maksudnya bukanlah cerita itu untuk dihafal semata dan diulang cerita, akan tetapi pengajaran dan aplikasi kepada cerita itu jualah yang lebih bernilai untuk diteliti. Begitu juga kita melihat pada sirah Nabi, bukanlah cerita itu sekadar untuk dihafal dan diceritakan bertali-tali dari generasi ke generasi, tetapi pengajaran dan teladan daripadanya yang patut kita ambil dan contohi. Maka dari situlah terbitnya sunnah!


“Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pengajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman”
(Yusuf;111)
Wahai semua pemilik hikmah, bangunlah dari mimpi yang lena…
Bangun, bangun, bangun!!!
Fajar Islam hampir menjelma!

Tiada ulasan: